Isnin, 3 Januari 2011

" ADA ORANG LEBIH DERITA DARI KU "


Ali(bukan nama sebenar) merasa amat dukacita dan rungsing, kerana isterinya yang dikasihi telah jatuh sakit, dan dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan kecil. Selepas menemui isterinya petang tadi, dia menaiki bas pulang ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari situ.
Sebelum sampai ke rumahnya, bas itu melalui kawasan bandar untuk mengambil penumpang. Petang itu cuaca di awal bulan, dia melihat orang begitu ramai dalam bandar, dengan wajah yang ceria, membeli belah dan berehat-rehat dengan keluarga. Sebuah pasar raya penuh sesak dengan pengunjung yang berebut-rebut hendak masuk membeli-belah, ramai yang membibit barang di tangan. Suasananya penuh dengan riang dan gembira, jauh berbeza dengan suasana di rumah sakit tadi, penuh dengan suasana murung, sedih dan dukacita yang mengusik hati, malah ada orang yang meratap dan menangis. Dia teringatkan isterinya yang sakit, terlantar di wad, menunggu untuk dibedah keesokan harinya, hatinya bertambah parah, keharuan menyebak di dadanya.
Ali merasa jiwanya tertekan, hampa dan kecewa, dia baru kahwin, dan isteri tercintanya sudah terlantar di hospital. Fikirannya berserabut bunut. Tiba-tiba dia terkejut dengan pertanyaan seorang penumpang yang duduk di sebelahnya. Dia tidak perasan di sebelahnya ada penumpang. Orang itu bertanya kemana dia hendak pergi? Setelah memberitahu halatujunya, maka bermulalah perbualan antara Ali dan penumpang itu. Ali mencurahkan segala dukacita dan kerungsingan yang melanda  lubuk hatinya dan didengar oleh lelaki tersebut dengan penuh simpati. Hinggakan Ali merasa dia tidak pernah menemui dengan seseorang yang begitu bersimpati dengan nasibnya.
Setelah agak jauh bas itu berjalan, barulah Ali menyedari lelaki di sebelahnya itu membawa sebatang tongkat yang membuktikan bahawa dia seorang yang tempang. Ali pun bertanya mengenainya. Secara ringkas lelaki itu menceritakan kisah hidupnya. Katanya, dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang tidak sempurna. Dia lumpuh dari pinggang hingga ke bawah sejak dilahirkan ke dunia. Kerana itu, ketika berusia setahun dia terpaksa masuk keluar rumah sakit. Katanya masa yang paling singkat dia berada di rumah sakit ialah setahun, dan masa yang paling lama ialah 5 tahun untuk menerima rawatan.
Penumpang itu juga menceritakan bahawa dia pernah menemui seorang pesakit yang lebih teruk darinya. Pesakit itu terpaksa meniarap di atas katil wad selama 5 tahun untuk menerima rawatan.
Walau bagaimanpun kata penumpang itu,dia tidak pernah menyesal, atau kecewa. Dia masih boleh hidup, dan kini berusia hampir 40 tahun. Dia bersyukur kerana masih boleh membantu ibunya yang telah tua dan uzur.
Bila lelaki itu turun, Ali berfikir panjang. Nasib Ali tidaklah lebih malang dari nasib orang tadi. Isteri Ali pun hanya terpaksa dirawat di rumah sakit selama seminggu kata doktor, tapi dia sudah merasa begitu rungsing dan dukacita, sedangkan lelaki itu terpaksa menanggung derita sepanjang hayat, Ali mulai sedar, bahawa dunia ini masih belum berakhir untuknya. Kisah penumpang bas yang cacat itu memberi tamparan hebat kepadanya.
Ali teringat beberapa ungkapan yang amat bernilai untuk menjadi renungan kepadanya :
 
“Saya menangis kerana jari saya tidak bercincin, sehinggalah saya menemui orang yang tidak berjari”,
dan
“Saya menangis kerana tidak berkasut, sehinggalah saya bertemu dengan orang yang kudung tidak berkaki”


Dengan itu segala duka nestapa dan kerungsingan yang berlengkar dalam mindanya mulai sinar seperti kabus pagi disinari matahari.
Menyerlahkan sinar harapan yang gemilang.
“Ada orang lebih derita dari aku”. Fikirnya.
Ali merasa masa depan masih ada untuknya. Besok masih ada untuknya. Dia bersyukur kepada Allah SWT


Dipetik dari buku :
"Gangguan Syaitan Penyebab Kerungsingan Hidup & Penyelesaian Mengikut Islam"
Hj. Mohamed Zain Saleh

0 comments:

Catat Ulasan